Wednesday, 24 April 2013

Hubung kait Rezeki Dan Kekayaan

Manusia seringkali mentafsir bahawa rezeki adalah harta kekayaan atau keuntungan dari hasil sesuatu pekerjaan. Pada hakikatnya, pengertian rezeki lebih luas. Rezeki ialah segala keperluan hidup seperti keamanan, kebahagiaan, ketenangan, perlindungan, keamanan, ilmu, sifat-sifat terpuji saperti ikhlas, reda, syukur, tawadhu, khusyuk dalam sembahyang dan sebagainya. Secara umumnya rezeki adalah segala pemberian atau nikmat yang diberikan oleh Allah kepada hamba-hambanya.

Mengenai rezeki yang berupa harta kekayaan, ada orang mendapat rezeki yang berkat dan ada juga yang membawa celaka. Untuk mendapat keberkatan rezeki tersebut semestinya diperolehi dengan cara-cara yang halal dan ditambah lagi dengan rasa kesyukuran, sementara rezeki yang tidak berkat diperolehi dengan cara yang tidak dibenarkan syara' dan diiringi dengan tamak haloba dan sangat mementingkan kebendaan sehingga lupa kewajiban dan tuntutan syara'. Rezeki yang berkat akan menambahkan kedamaian, memperkukuhkan keimanan dan membentuk akhlak dan peribadi yang terpuji, memberikan kepuasan,memberikan kesihatan mental fizikal dan spritual. Ia juga akan memberi pengaruh terhadap ketenteraman, keamanan,sejahtera, keharmonian dan kehidupan berkeluarga, anak isteri patuh dan mendengar cakap, tidak mendatangkan masalah. Malahan rezeki yang berkat juga berperanan terhadap masyarakat dan negara saperti yang di alami oleh Negeri Saba'. Rakyatnya rukun damai,tanahnya subur,pohon-pohonnya berbuah.

Perlu dinyatakan bahawa Allah adalah pemberi rezeki kepada semua makhluk. Manusia sesungguhnya tidak mampu melakukannya, untuk memberi makan semua ikan di laut saja kita tidak akan sanggup. Perkara ini membuktikan bahawa kemampuan dan keupayaan manusia adalah terbatas. Tugas manusia berusaha tetapi yang menentukan usaha tersebut berhasil atau gagal, mendapat rezeki atau tidak, banyak atau sedikit adalah anugerah Allah Subhanahu Wataala.

Dalam Surah Al Isra ayat 70 Allah berfirman yang bererti:
" dan sesungguhnya telah kami muliakan anak-anak Adam, kami angkut mereka di daratan dan di lautan, kami berikan mereka rezeki yang baik".

Dalam Surah Hud ayat 6 Allah berfiman:
" Dan tidak ada satupun binatang yang melata dibumi ( yang tidak dapat rezeki) melainkan Allah yang memberi rezekinya"

Firman Allah Surah Saba' ayat 24 :
" Katakanlah olehmu ( wahai Muhammad) siapa yang memberi rezeki dari langit dan bumi? Katakan " Allah".

Firman Allah Surah Al Isra' ayat 31:
" Janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan miskin. Kamilah yang akan memberikan rezeki kepada mereka dan juga kepada kamu.

Oleh kerana yang memberi dan mengatur rezeki tersebut hanya Allah, maka sebagai orang yang beriman kita perlu membaiki hubungan kita kepadaNya di samping membaiki hubungan sesama manusia dan sesama makhluk yang lain.

Dalam halaman-halaman berikut dicatatkan beberapa amalan yang boleh mendatangkan rezeki yang luas dan berkat.

AMALAN - AMALAN MURAH REZEKI

1.Bertaqwa dan beribadat kepada Allah
    a. Bertaubat dan beristighfar
    b. Menunaikan solat fardhu dan mengamalkan solat sunat
        terutamanya Solat Hajat dan Solat 
Dhoha.
    c. Berpuasa
    d. Bersyukur
    e. Bertawawakkal
    f.  Membaca Al Quran, berdoa dan berzikir

2.Membuat kebajikan kepada manusia
   a. Bersedekah
   b. Memberi nafkah kepada ahli keluaga
   c. Membayar zakat
   d. Memanfaatkan harta di jalan Allah
   f. Membantu orang yang kesusahan

Sunday, 21 April 2013

Punca rezeki sukar diperolehi / penghalang rezeki.


     Sesungguhnya pada diri setiap manusia, telah ditetapkan bagi mereka rezekinya sejak roh ditiupkan pertama kali ke dalam kandungan ibu. Sebagaimana telah disebutkan bahwa rezeki telah ditetapkan, hanya tinggal bagaimana cara kita meraih rezeki tersebut. Sama ada dengan jalan halal dan penuh keberkatan, ataupun dengan jalan haram yang mengundang kemurkaan Allah. Maka tidak salah jika ramai yang lebih suka mengatakan menjemput rezeki daripada mencari rezeki.

Bila pintu rezeki ditutup Allah, maka dunia terasa menghimpit. Islam telah mengajar umatnya bahawa meninggalkan ketaqwaan di dalam apa jua aspek kehidupan akan mengundang kemiskinan dan kemelaratan. Macam-macam kemiskinan boleh berlaku bila taqwa tidak dimiliki. 

Semuanya termaktub di dalam alquran dan sunnah Rasulullah SAW. Tidak miskin harta, seseorang yang melakukan dosa terus menerus tanpa taubat boleh jadi miskin iman, miskin hidayah, miskin ilmu, miskin akhlak dan adab, miskin maruah dan jati diri. Dalam kata-kata yang lain, kalau taqwa menjadi faktor ‘pengundang’ rezeki, keberkatan dan rahmat Ilahi, maka kesan dosa, maksiat dan mungkar adalah sebaliknya. 

Lalu, pernahkah selama ini terfikir dan terlintas di hati kita, bahawa dosa yang kita lakukan samada terhadap Allah dan sesama manusia selama ini menjadi faktor atau penyebab ‘sempit’ dan ‘terhalang’nya rezeki Allah dari rezeki kita? Tersebut di dalam sebuah kitab Musnad, “Sesungguhnya manusia terhalang dari rezeki lantaran dosa yang dilakukannya.”

Dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ad Dailami, Rasululah SAW bersabda: “Perbuatan zina itu mewariskan (mendatangkan) kefakiran (kemelaratan) .”  

Tanpa asas taqwa, seandainya seseorang itu dilihat melimpah ruah hartanya sekalipun, ia tak lebih merupakan ‘istidraj’ dari Allah. Itulah pemberian yang disertai laknat dan kutukkan. Mahukah kita dikurniakan rezeki sebegitu? Mahukan kita pemberian yang sedemikian? Kalau jawapan kita ‘ya’, maka kita tak lebih umpama Qarun, Tha’labah Yahudi Mabuk serta yang sama waktu dengan mereka. 

Bagi golongan ini wang, harta dan kemewahan adalah segala-galanya. Dari mana punca dan sumbernya, tidak pernah diambil kira. Mereka langsung tidak memperdulikannya. Lihat kesudahan mereka. Tiada apa lagi yang boleh menahan mereka daripada terkubur hina bersama dengan harta haram dan syubhat yang mereka usahakan selama ini. 

Firman Allah s.w.t.yang bermsksud :
“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya.” (Surah At-Talaq ayat 2-3)

Antara punca-punca rezeki sukar diperoleh :

1) Jauhnya hubungan dengan Allah S.W.T.

2) Dosa.

3) Punca rezeki yang tidak berkat.

4) Bakhil. (Tidak bersedekah dan mengeluarkan zakat.)

5) Tidak mensyukuri nikmat yang diberi.

6) Ujian.

Kadangkala seseorang pernah bertanya pada diri sendiri, “Kenapa rezekiku  sempit?  Buat berbagai usaha tetapi masih gagal mencapai matlamatnya?Berniaga merosot, puas aku berdoa dan minta pertolongan Allah tetapi masih tidak dimakbulkan-Nya?”

Perlu di ingat bahawa Allah S.W.T. Maha Mengetahui apa akan berlaku kepada para hamba-Nya dilambatkan permohonannya adalah untuk kebaikan hambanya sendiri. Kerana takwanya belum mantap, maka diuji lagi supaya semakin banyak ia berusaha, berdoa dan bertawakal maka akan melahirkan hubungan yang erat hatinya dengan Allah S.W.T. dan Dia ingin memberikan pahala yang besar kepadanya diatas kesabarannya. Oleh itu kita kena berbaik sangka dengan Allah S.W.T. berdoa dan terus berdoa jangan putus asa. Cepat atau lambat dikabulkan doa kita adalah urusan Allah S.W.T.

Sebagai kesimpulan, terdapat banyak perkara yang boleh menghalang dan membuatkan begitu mahalnya rezeki kepada kita.  Dalam usaha mencari rezeki di atas dunia ini, jangan sampai menjauhkan kita daripada beribadah dan mangingati Allah. Oleh itu, kita perlu bertawakal kepada Allah dengan hakikat tawakal yang sebenarnya. Kita mesti berusaha dan berikhtiar tetapi meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah. Kalau dapat apa yang kita inginkan, bersyukurlah. Kalau sebaliknya, bersabarlah dan berbaik sangka dengan Allah. Yang penting, kita mesti tahu meletakkan kepentingan antara dunia dan akhirat. Jangan gadaikan akhirat dengan habuan dunia yang sementara ini. Berusaha dan berikhtiarlah, kerana ia sunnatullah. Tetapi ingat, ia tidak akan dapat mengatasi takdir Allah S.W.T.

* Pengisian ini diolah daripada beberapa blog. Semoga apa yang di sampaikan dapat memberi manfaat bersama.

Maksud Rezeki dan Kekayaan dalam Islam

Rezeki di dalam Islam bukan hanya terhad kepada wang dan harta. Jangkauan rezeki yang disebut oleh Allah ta'ala dan Rasulullah terlalu amat luas meliputi rezeki yang rencam.  Hakikatnya orang yang ‘memberi' dan menyumbang akan memperolehi pulangan dari Allah dalam bentuk yang amat pelbagai, juga mencakupi material dan spiritual.
Rezeki adalah sesuatu yang telah dijamin oleh Allah kepada seorang hambanya. Rezeki yang kita dapat tu bukan hak mutlak kita seorang, ada hak orang lain di dalamnya.

Allah SWT tidak membebani manusia harus menjadi seorang yang kaya harta. Allah SWT hanya membebani manusia agar berusaha sesuai dengan kemampuan. Dan hasil itu adalah di tangan Allah. Allah SWT  telah melapangkan dan menyempitkan rezeki seorang sesuai dengan kehendak-Nya. 
Dan itu merupakan taqdir kauni, sebagaimana firman-Nya :

أَوَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

”Dan tidakkah mereka mengetahui bahwa Allah melapangkan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa saja yang dikehendaki-Nya ? Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang beriman” [QS. Az-Zumar : 52].

Kedudukan harta dan kekayaan tidak boleh sejajar atau bahkan lebih tinggi dengan kedudukan iman dan ibadah kepada Allah. 
Hal itu sebagaimana yang disiratkan Allah SWT  dalam ayat-Nya :

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِنْدَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلا

”Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi shalih adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan”
 [QS. Al-Kahfi : 46].


Kekayaan adalah amanah daripada Allah yang mesti diuruskan dengan sebaik-baiknya. Konsep amanah ini menunjukkan bahawa segala kekayaan yang dianugerahkan oleh Allah adalah merupakan pinjaman semata di dunia ini. Walaubagaimanapun, yang Maha Pemurah dan Maha Luas sifatnya memberikan kebebasan kepada hambanya menggunakan nikmat ini untuk manfaat dunia dengan berpandukan Syariah.
Melaksanakan amanah ini dengan baik bukan sahaja akan mendapat kesenangan duniawi, malahan Allah akan memberikan ganjaran pahala sebagai bekalan di Akhirat nanti.
Selain itu, kekayaan adalah merupakan salah satu jalan menuju kejayaan. Ayat 10-12, Surah As-Saff yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. Nescaya Allah mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai, dan ke tempat tinggal yang baik di dalam surga 'Adn. Itulah kemenangan yang agung."
Dengan memahami kedua-dua konsep kekayaan dalam Islam ini, maka aspek perancangan kewangan perlulah diberi perhatian. Melaksanakan perancangan kewangan yang baik dan berkesan merupakan suatu Ibadah dengan tujuan menjaga Amanah daripada Allah dan salah satu cara mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat sepertimana janji Allah yang disebutkan diatas.
Seorang Muslim yang beriman itu adalah baik, tetapi seorang Muslim yang beriman dan menggunakan kekayaan anugerah Allah untuk kemaslahatan(kebaikan) ummah adalah amat disukaiNya.

Monday, 8 April 2013

Zaman orang tidak peduli sumber pemerolehan harta

Sabda Rasulullah s.a.w, Akan datang suatu zaman seseorang tidak mempedulikan dari mana ia mendapatkan harta, apakah daripada sumber yang halal ataupun haram. - Abu Hurairah r.a.
Di zaman sekarang ini merupakan zaman ketandusan rohani dan zaman materialisme, segala sesuatu adalah bernilai dengan nilai harta. Manusia cakar-cakaran untuk memperolehi harta sebanyak yang mungkin. Meraka tidak mempedulikan dari mana datangnya harta yang diperolehi, apakah dari sumber yang halal atau dari sumber yang haram. Yang penting harta dapat dikumpulkan sebanyak-banyaknya untuk memenuhi kehendak nafsu ataupun melayan kehendak isteri dan anak-anak mereka.  


Bahaya Kekayaan melimpah ruah

Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umar r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah s.a.w. melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah). 

Kemudian Rasulullah bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu seperti mana kamu memasang kelambu Kaabah?".Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah s.a.w. tentunya diwaktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki". Lalu Rasulullah bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik keadaan kamu di hari itu". - Riwayat Tarmizi

Erti Hadis :

Hadis ini menerangkan bahawa manusia yang mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan, pagi dan petang pakaian silih ganti, hidangan makanan tidak putus-putus, rumah tersegam indah dengan hiasan yang bermacam-macam sering menyangka apabila semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadat.


Namun Rasulullah s.a.w. mengatakan, "Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita". ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat. Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang dari beribadat kepada Allah s.w.t. seperti mana yang berlaku hari ini. Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang dari beribadah. Kita sibuk menghimpun harta dan sibuk menjaganya serta sibuk untuk menambah lebih banyak lagi. Tidak ubah seperti apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w, "Seandainya seorang anak adam itu telah mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk cari jurang yang kedua, sehinggalah dia masuk kedalam tanah (menemui kematian)".

Begitu gambaran yang sebenar terhadap ketamakan manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian. Maka ketika itu, barulah ia sedar dengan seribu satu penyesalan. Tetapi di saat itu sudah tidak berguna lagi. Biarlah kita mencari harta benda dunia pada batas-batas keperluan sahaja, kalau berlebihan bolehlah digunakan untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak. Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan ia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya. 

Sunday, 7 April 2013

Hukum orang yang mampu bekerja

Diamnya orang yang mampu bekerja, adalah haram.

Setiap muslim tidak boleh bermalas-malasan untuk bekerja dalam mencari rezeki dengan alasan kerana sibuk beribadah kepada Allah serta malas dalam kehidupan, ini adalah kerana langit ini tidak akan mencurahan hujan emas.

Haram juga hukumnya apabila seorang muslim hanya menggantungkan dirinya kepada sedekah orang, padahal dia masih mampu berusaha untuk memenuhi kepentingan dirinya sendiri dan keluarga serta tanggungannya. Sabda Rasullullah :

Sedekah tidak halal buat orang kaya dan orang yang masih mempunyai kekuatan dengan sempurna. -Riwayat Termizi.


Kekayaan menurut pandangan Islam Dan Barat

Kekayaan menurut pandangan Islam


Kekayaan dalam islam adalah berlandaskan syariat islam. Oleh yang demikian banyak nilai-nilai murni dalam agama yang diserapkan dalam konsep asas ekonomi islam ini. Berikut adalah asas tersebut :
  
Pemilikan adalah hak Allah

Segala apa yang ada di langit dan bumi adalah milik Allah . Manusia hendaklah berkongsi nikmat ini dengan mewujudkan keseimbangan dan keharmonian dalam masyarakat . Firman Allah dalam surah Al Maidah ayat 17 yang bermaksud :
Kepunyaaan Allahlah kerajaan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya.
Islam menggalakkan umatnya agar mensyukuri nikmat kurniaan Allah iaitu dengan menggunakannya ke jalan yang diredai Allah. Antara cara yang boleh digunakan untuk menunjukkan kesyukuran ialah :
  • Sentiasa memikirkan kebesaran Allah kerana nikmat yang dikurniakan .
  • Menggunakan nikmat dengan cara dan jalan yang betul.
  • Mengagihkan nikmat yang dikurniakan kepada golongan yang memerlukan .
  • Tidak kufur dengan nikmat kurniaan Allah.  

Kebebasan Individu
 
Islam tidak melarang umatnya dalam mencari harta kekayaan dunia. Nabi Muhammad swt dalam satu hadisnya yang bermaksud :
Berkerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya,dan beribadatlah seperti kamu akan mati esok .
Daripada hadis di atas jelas menunjukkan kebebasan individu untuk mencari kekayaan dunia. Islam juga membenarkan umatnya menjalankan pelbagai bentuk ekonomi selagi ianya selari dengan apa yang digariskan dalam Al Quran dan al Sunnah.


Ketidaksamaan ekonomi dalam batasan semulajadi

Perbezan dalam ekonomi memang wujud secara semulajadi di dunia ini . Islam adalah agama yang adil dan sememangnya tidak membiarkan perbezaan ini menjadi terlalu jauh . Kekayaan yang dimiliki oleh golongan tertentu di kongsi dengan orang lain iaitu dengan mengeluarkan zakat harta bagi yang berharta dan zakat fitrah untuk semua orang islam.
 

Pengagihan kekayaan secara meluas
 
Islam memgagihkan kekayaan terhadap umatnya secara sekata tanpa menumpukannya kepada sesuatu kelompok masyarakat sahaja. Semua individu mempunyai hak yag sama dalam mendapatkan kekayaan. kekayaan yang diperolehi hendaklah daripada sumber yang halal .
 

Larangan terhadap kegiatan anti-sosial

Semua kegiatan ekonomi dalam islam hendaklah mementingkan keamanan dan kesejahteraan dalam masyarakat. Segala bentuk ekonomi yang mendatangkan keburukan dan bertentangan dengan ajaran islam adalah ditegah sama sekali. Sebagai contah riba,rasuah , pasaran gelap dan lain-lain lagi yang bertentangan dengan ajaran islam. 

Hubungkait dengan agama dan tuhan
 
Ekonomi islam mempunyai hubungan yang rapat dan terus dengan agama. Segala perlakuaan adalah berlandaskan syariat dan hukum-hukum islam. sebagai contoh umat islam ditegah dari mengambil riba kerana ianya bertentangan dengan syariat islam . Barat pula tidak mementingkan nilai-nilai agama menyebabkan agama dipinggirkan secara terus daripada ursan-urusan dunia.Dalam aspek ekonomi,sebarang cara dibenarkan kerana tiada panduan dan bimbingan daripada agama . Islam menekankan konsep keredaan tuhan manakala barat sebaliknya .

Keadilan dalam urusan dan sosial

 
Islam mementingkan keadilan dalam ekonomi . Semua orang tidak kira islam ataupun tidak dilayan dengan adil dan tiada dasar diskriminasi diamalkan. Peluang yang sekata ini mewujudkan persaingan yang sihat antara peniaga dan ini akan meningkatkan lagi taraf ekonomi Negara islam dan dalam masa yang sama mengelakkan berlakunya kekecohan dan permusuhan kerana tidak puas hati terhadap pemerintah . Barat pula mementingkan keuntungan semata-mata dan ini mengabaikan nilai-nilai kemanusiaan. Hal ini menjadikan ekonomi barat tidak seimbang dan tidak sesuai untuk diamalkan.Muamalat yang diamalkan oleh islam juga membuktikan bahawa islam adalah agama yamg adil dalam urusan berkaitan sosial dan masyarakat.

Keseimbangan dalam masyarakat

Ekonomi islam merupakan platform yang penting dalam mewujudkan masyarakat yang cemerlang. Hal ini adalah kerana ahli-ahli ekonomi memainkan peranan sebagai pemimpin dan pengkritik dalam masyarakat. Pengaruh daripada ahli-ahli ekonomi ini mampu digunakan untuk menggerakkan masyarakat. Barat pula tidak menggunakan pendekatan ini dalam menstabilkan masyarakat.

Landasan yang berkesan untuk menyebarkan agama Allah

 
Ahli-ahli ekonomi islam boleh menggunakan ekonomi dalam urusan penyebaran dakwah iaitu dengan mempamerkan aklak yang baik Dengan cara ini golongan bukan islam akan tertarik untuk mendekati islam . Manakala dalam masyarakat islam sendiri ianya membolehkan syariat islam diamalkan dengan meluas. Barat mengasingkan urusan agama dengan ekonomi dan ini menyukarkan agama unuk disebarkan dan dalam masa yang sama mengundang persaingan yang tidak sihat dalam ekonomi contohnya rasuah dan penindasan .



Kekayaan menurut pandangan Barat

 

Masyarakat barat tidak memiliki undang-undang dan garis panduan yang tetap. Undang-undang yang dihasilkan juga hanya berlandaskan logik akal dan mengutamakan kepentingan sesetengah pihak. Undang-undang barat juga bebas dan tiada sebarang larangan. Sebagai contah undang-undang kapitalisme yang memeng terkenal dengan dasar penindasannya.

Sarjana barat mendefinisikan ekonomi sebagai tuntutan dunia semata-mata dan tiada kaitan langsung dengan aspek keagamaan. Ini menunjukkan agama dipisahkan secara terus daripada urusan dunia. Keadaan ini memberikan implikasi yang besar terhadap corak pemikiran dan amalan orang-orang barat berkaitan ekonomi.
Adam Smith menyatakan ekonomi sebagai suatu disiplin ilmu yang sarana-sarana kekayaan bangsa-bangsa dengan mmusatkan perhatian kepada sebab-sebab kebendaan daripada kemakmuran seperti hasil industri dan pertanian. 
Marshall pula menyatakan ekonomi sebagai ilmu tentang kehidupan manusia berhubung bagaimana mendapatkan pendapatan dan cara menggunakannya.

Daripada pandangan dua oang sarjana barat ini jelas sekali menunjukkan perbezaan antara barat dan islam
Daripada perbezaan di atas dapat disimpulkan bahawa ekonomi islam jauh lebih baik berbanding barat kerana ianya lebih teratur dan tersusun . Ekonomi islam juga mempunyai garis panduan yang lengkap . Hubungkait antara ekonomi dan agama juga jelas ditunjukkkan. 

Rezeki yang Halal dan Haram

Marilah kita mendengar dan memahami serta beramal dengan petunjuk Allah SWT di dalam al-Quran berkaitan rezeki yang dikurniakan kepada kita di dunia ini berdasarkan Firman Allah : "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya." (Al-Baqarah: 172)

Yang dimaksudkan dengan memakan rezeki yang halal ialah mengambil manfaat daripada rezeki yang diberikan oleh Allah SWT, bukan sahaja dalam soal makan, minum, pakaian, tempat tinggal termasuk juga kenderaan yang digunakan.Semua perkara yang digunakan itu mestilah diambil daripada rezeki halal dan diizinkan oleh Allah SWT. Dengan lain pengertian, bukan sahaja rezeki itu daripada bahan-bahan halal tetapi perlu memastikan daripada sumber-sumber halal dan dimanfaatkan dengan cara yang diizinkan oleh Allah SWT.

Perkara ini dijelaskan oleh sabda Rasulullah s.a.w. : Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: "Sabda Rasulullah s.a.w: Wahai manusia! Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia tidak menerima melainkan yang baik. Allah memerintah orang-orang yang beriman sahaja dengan apa yang diperintahkan kepada rasul-Nya.

Firman Allah SWT: "Wahai rasul-rasul, makanlah kamu daripada yang baik lagi halal dan beramallah kamu dengan amal yang soleh, sesungguhnya Aku amat mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Al-Mukminun: 51).

Dan firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah kamu yang halal yang Aku rezekikan kepada kamu." (Al-Baqarah: 172).

Kemudian Rasulullah s.a.w menceritakan seorang lelaki yang terlalu banyak musafirnya sehingga kusut masai rambutnya, berdebu pakaiannya. Lelaki itu berdoa kepada Allah: "Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku, padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan sejak kecil lagi dia diberi makan dengan makanan yang haram, maka bagaimana Allah akan memperkenankan doanya?" (Riwayat Muslim)

Ini menunjukkan perkara yang halal sangat mempengaruhi kehidupan di dunia ini dan hubungan dengan Allah SWT dari kehidupan dunia sampai akhirat.

Bukan sahaja dimasukkan ke dalam syurga bagi mereka yang mengambil dan menggunakan yang halal dan dimasukkan ke dalam neraka bagi mereka yang menggunakan yang haram, bahkan mereka akan menjalani kehidupan dunia dalam keadaan yang tidak berkat serta mendapat kutukan Allah.

Yang dimaksudkan mengambil yang haram itu ialah mengambil harta dengan cara yang tidak diizin oleh Allah sama ada mencuri, merompak, menyamun, menipu, rasuah dan lain-lain lagi, termasuk mengambil harta sesama manusia dengan cara yang tidak diizinkan oleh syarak.

Itulah perkara-perkara yang haram yang dinyatakan oleh Allah SWT, bukan sahaja mengambil makanan dengan cara mencuri adalah haram di sisi Allah sepertimana meminum arak.

Maka begitu juga mengambil barang milik orang lain dengan cara yang tidak betul, termasuk juga menggunakan kenderaan dan rumah dengam sumber yang haram, termasuk juga tanah-tanah yang diambil, duit yang diambil dengan cara yang tidak halal, membahagi harta pusaka dengan cara yang tidak betul, semua yang diambil adalah haram di sisi Allah dan diberi amaran keras oleh Rasulullah s.a.w.

Amaran oleh Allah SWT kepada mereka yang memakan makanan yang haram, makanan yang diambil dengan harta yang haram, minuman yang haram atau minuman yang dibeli dengan harta yang haram, semuanya itu akan menjadi umpan api neraka dalam perut mereka.

Termasuklah mereka yang memakai pakaian dengan cara dan gaya yang haram juga akan menjadi umpan api neraka kepadanya pada hari kiamat.

Begitu juga kepada mereka yang mengambil tanah orang lain dengan cara yang haram. Ini bukannya satu perkara yang boleh dipermain-mainkan, termasuklah mereka yang cerdik pandai dan bijak, mencari rezeki secara rasuah.

Sabda Rasulullah s.a.w. "Allah melaknat orang yang memberi rasuah dan orang yang menerimanya."

Dalam hadis yang lain, sabda Rasulullah s.a.w : "Orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah semuanya di dalam neraka."

Begitulah amaran yang keras daripada Nabi s.a.w. Rasuah bukan sahaja untuk mendapat sesuatu tetapi termasuklah untuk mendapat pengaruh seperti melantik pemimpin-pemimpin melalui rasuah sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Bani Izrail yang memilih pemimpin-pemimpin yang memberi rasuah kepada mereka. Maka pemimpin itu akan bersama dengan para pengikutnya di dalam neraka pada hari kiamat.

Mereka mengambil apa sahaja dengan tidak mengikut petunjuk daripada Allah SWT tetapi mengikut selera hawa nafsunya. Marilah kita menyelamatkan diri kita dengan agama.

Firman Allah : "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa padahal kamu mengetahui (salahnya). (Al-Baqarah: 188).

Marilah kita berpegang dengan petunjuk yang ditunjukkan oleh Allah serta petunjuk yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad s.a.w. terutamanya pada zaman manusia yang mabuk dengan keduniaan, kemewahan Allah SWT telah berfirman :"Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi untuk menjalankan urusan-urusan masing-masing dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak dalam segala keadaan, supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)." Surah Al Jumu'ah Ayat 10.

Seberapa banyak pun rezeki yang kita cari dan perolehi di dunia ini tidaklah menjadi larangan di dalam Islam asalkan jangan sampai mencuaikan perintah Allah SWT dan melanggar larangan-larangan Allah SWT.Rezeki kita itu sebenarnya adalah hak Allah SWT dan Allah Taala Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang sahajalah yang mengurniakan rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya mengikut aturan yang telah ditetapkan. Oleh itu, seseorang yang mencari rezeki itu hendaklah berniat untuk memelihara agamanya untuk mencukupi dirinya supaya tidak meminta-minta kepada orang lain dan untuk mendapatkan rezeki ahli rumah tangganya kemudian jika ada lebih disedekahkan pula kepada orang-orang yang berhajat.

Semua bidang pekerjaan yang kita ceburi di dunia ini sama ada kita berkhidmat dengan kerajaan mahupun swasta atau sebagai peniaga, petani, nelayan, buruh dan sebagainya hendaknya memastikan bahawa rezeki yang kita dapatkan itu betul-betul halal dan tidak menyimpang dari landasan hukum Islam yang sebenarnya, seperti tidak ada penipuan, penindasan, rampasan, khianat, riba, rasuah dan sebagainya.

Rasulullah s.a.w telah bersabda dalam sebuah hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari yang bermaksud: "Dari Abi Hurairah ra telah berkata ia: Nabi saw bersabda Akan ada suatu zaman pada umat manusia yang seseorang itu tidak lagi mempedulikan apa yang diambilnya (rezeki yang diterima olehnya) apakah dari yang halal atau dari yang haram."

Setiap rezeki yang kita perolehi dari jalan yang salah ataupun bercampur antara yang halal dengan yang haram akan memberi kesan yang tidak baik, baik pada diri kita sendiri, keluarga, masyarakat mahupun kita dengan Allah SWT.

Ini jelas digambarkan dalam hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: "Dari Ibnu Umar ra katanya: Barang siapa yang membeli pakaian dengan harga sepuluh dirham, satu dirham di antaranya wang yang haram, maka Allah Taala tidak akan menerima salatnya selama pakaian itu masih dipakainya. Kemudian Ibnu Umar memasukkan kedua jarinya ke dalam dua telinganya, lalu berkata: Biarkanlah telinga ini tuli kalau tidak mahu mendengarkan kata-kata dari Nabi saw ini." (Hadis riwayat dari Imam Al-Bukhari).

Kita wajiblah berhati-hati dalam mencari dan mendapatkan rezeki, apalah gunanya kita mempunyai kekayaan di dunia ini tetapi segala ibadat dan amal bakti kita kepada Allah SWT tidak diredai-Nya, disebabkan kita terlalu rakus di dalam mencari harta hingga mencampur-adukkan antara yang hak dan yang batil. Nauzubillah Minzalik.

Semasa Sayidina Abu Bakar ra menjadi khalifah pernah terjadi suatu peristiwa terhadap dirinya yang boleh dijadikan iktibar dan panduan kepada kita selaku hamba Allah yang sangat daif ini, iaitu ketika Sayidina Abu Bakar ra makan suatu makanan, lalu hambanya memberitahu bahawa makanan yang dimakannya itu adalah hasil yang diterimanya daripada pekerjaannya sebagai tukang tilik, sebelum dia masuk Islam. Lantas Sayidina Abu Bakar ra mengeluarkan makanan tersebut seberapa yang boleh hinggakan memuntahkan semua makanan yang ada di dalam perutnya, lalu ditegur, mengapa Sayidina Abu Bakar ra sanggup berusaha mengeluarkan makanan tersebut, Sayidina Abu Bakar berkata bahawa dia pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Badan yang tumbuh subur dengan makanan yang haram pasti akan merasai api Neraka. Oleh kerana itu aku memaksa makanan itu keluar, takut kalau-kalau ia menyuburkan badanku. Begitulah kisahnya tentang Sayidina Abu Bakar yang sangat teliti tentang halal haramnya rezeki yang dimakannya.

Oleh yang demikian wahai kaum Muslimin sekalian selaku pengguna dan juga peniaga dan sebagainya, kita hendaklah berhati-hati dalam mencari rezeki ini, jangan sampai kita tercebur kepada perkara yang haram seperti memakan makanan yang haram ataupun menjual barang-barang yang haram dan diragukan kehalalannya.

Hindarkanlah diri kita dari memakan makanan yang haram itu kerana orang yang memakan makanan yang haram itu api Neraka lebih utama baginya sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: "Tidak akan memasuki Syurga, daging yang tumbuh daripada yang haram, api Neraka lebih utama baginya." (Riwayat Al-Imam Ahmad).

Firman Allah SWT : "Oleh itu, makanlah wahai orang-orang yang beriman dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata." Surah An-Nahl Ayat 114

Monday, 1 April 2013

Kelebihan dan Khasiat Surah Al-Waqiah

  • Sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa membaca surah Al-Waqi’ah setiap hari, ia tidak akan ditimpa kefakiran.”
  • Sabda Rasulullah s.a.w. : “Siapa membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya. (Diriwayatkan oleh Baihaqi dari Ibnu Mas’ud r.a.)
  • Sabda Rasulullah s.a.w. : “Ajarkanlah surah Al-Waqi’ah kepada isteri-isterimu. Kerana sesungguhnya ia adalah surah Kekayaan.” (Hadis riwayat Ibnu Ady)
  • Sabda Rasulullah s.a.w. : “Barang siapa yang membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam maka dia tidak akan tertimpa kefakiran dan kemiskinan selamanya. Dan surah Al-Waqi’ah adalah surah kekayaan, maka bacalah ia dan ajarkan kepada anak-anakmu semua.”
Menurut fatwa sebahagian Ulama’ katanya: “Barangsiapa membaca surah Al-Waqi’ah pada setiap hari dan malam dalam satu majlis sebanyak 40 kali, selama 40 hari pula, maka Allah akan memudahkan rezekinya dengan tanpa kesukaran dan mengalir terus dari pelbagai penjuru serta berkah pula.”
Surah Al-Waqi’ah adalah surah yang ke -56 di dalam Al-Quran, terletak pada juzuk ke 27 dan terdiri dari 96 ayat. Dinamakan Al-Waqi’ah kerana di ambil dari lafal Al-Waqi’ah yang terdapat pada ayat pertama surah ini, yang ertinya kiamat. Di dalam surah Al-Waqi’ah ini menerangkan tentang hari kiamat, balasan yang diterima oleh orang-orang mukmin dan orang-orang kafir. Diterangkan pula penciptaan manusia, tumbuh-tumbuhan, dan api, sebagai bukti kekuasaan Allah dan adanya hari berbangkit.
Di dalam surah Al-Waqi’ah terkandung beberapa khasiat, antara lain:
  • Bila orang membiasakan membaca surah ini setiap malam satu kali, maka dia dijauhkan dari kemiskinan selamanya.
  • Bila di baca 14 kali setiap selesai solat Asar, maka orang yang membacanya itu akan memperoleh kekayaan yang berlimpah ruah.
  • Jika di baca surah ini sebanyak 41 kali dalam satu majlis (sekali duduk), insyaAllah di tunaikan segala hajatnya khususnya yang berkaitan dengan rezeki.
  • Supaya menjadi orang yang kaya sentiasa bersyukur, amalkan membaca surah ini sebanyak 3 kali selepas solat subuh dan 3 kali selepas solat Isya’. InsyaAllah tidak akan berlalu masa setahun itu melainkan ia akan di jadikan seorang yang hartawan lagi dermawan.
  • Amalan orang-orang sufi, supaya dilimpahkan rezeki. Hendaklah berpuasa selama seminggu bermula pada hari Jumaat. Setiap selepas solat fardhu bacalah Surah Al-Waqi’ah ini sebanyak 25 kali sehinggalah sampai pada malam Jumaat berikutnya; pada malam Jumaat berikutnya itu, selepas solat Maghrib bacalah surah ini sebanyak 25 kali, selepas solat Isya’ bacalah surah ini sebanyak 125 kali diikuti dengan selawat keatas Nabi sebanyak 1000 kali. Setelah selesai, hendaklah ia memperbanyakkan sedekah. Kemudian amalkanlah surah ini sekali pada waktu pagi dan petang. Insya’Allah berhasil.
  • Surah ini jika dibaca disisi mayat atau orang yang sedang nazak, insyaAllah di permudahkan untuk roh keluar dari jasadnya. Jika dibaca disisi orang sakit, diringankan kesakitannya. Jika di tulis, kemudian dipakaikan kepada orang yang hendak bersalin, InsyaAllah segera melahirkan dengan mudah. Boleh juga dibaca disisi orang yang hendak bersalin sebagai selusuh.
Menurut As’Syeikh Abi’l Abbas katanya
  • Bila hendak mengamalkan surah Al-Waqi’ah ini, terlebih dahulu berpuasa selama 7 hari, di mulai pada hari Jumaat berakhir pada hari Khamis. Puasanya “tidak memakan sesuatu yang bernyawa / tidak makan ikan, daging, segala haiwan, hanya makan sayur-sayuran sahaja.
  • Dalam 7 hari itu, sesudah solat fardhu, membaca surah Al-Waqi’ah sebanyak 25 kali. Apabila bacaan tersebut di mulai setelah solat fardhu Subuh pada hari Jumaat pertama, maka diakhirilah pembacaan Al-Waqi’ah itu pada setelah fardhu Isya’ pada Jumaat berikutnya.

  • Pada malam Jumaat terakhir ini hendaklah membaca surah Al-Waqi’ah sebanyak 125 kali kemudian selawat 1000 kali.

KISAH QARUN DAN HARTANYA

Sudah menjadi lumrah  setiap makhluk ciptaan Allah Taala wujud dalam keadaan berpasangan dan berlawanan jenis  dan tingkah laku. Baik lawannya buruk, hitam lawannya putih, sejuk lawannya panas, racun lawannya penawar, cantik lawannya hodoh dan begitulah seterusnya. Jika ada positif tentunya ada negatif. Jika ada syurga tentunya ada neraka.  Jika ada hizbullah (parti Allah) sudah pasti wujud juga hizbusyaitan (parti syaitan). Semua situasi ini merupakan dalil-dalil kewujudan Yang Maha Khaliq (Pencipta). 

Dalam memperkatakan tentang hizbullah dan hizbusyaitan, al-Quran mengutarakan berbagai kisah para Anbiya’ dan umat mereka yang terdahulu sebagai tauladan dan juga sempadan kepada umat Nabi Muhammad selaku Rasul akhir zaman. Antaranya ialah kisah Qarun yang hidup pada zaman Nabi Musa alaihissalam. Istilah atau nama Qarun (قارون) dinyatakan sebanyak 4 kali dalam al-Quran, iaitu dalam surah al-Qasas  ayat 76, surah al-Qasas ayat 79, surah al-Ankabut ayat 39 dan juga surah Ghafir ayat 24.  
  • Sesungguhnya Qarun adalah daripada kalangan kaum Musa. Namun dia bertindak melampaui batas terhadap mereka dan Kami telah anugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepada beliau  “Janganlah kamu terlalu bangga, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri”. Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu lupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu  dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melakukan kerosakan. Dia (Qarun) berkata: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu kerana ilmu yang ada padaku”. Dan apakah dia tidak mengetahui bahawa Allah  telah membinasakan umat-umat sebelumnya  yang mana lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu  tentang dosa-dosa mereka.  (Surah al-Qasas, ayat 76-78).
  • Dan dia tampil di hadapan kaumnya dalam keadaan segak berhias (dengan segala kebesaran yang dimiliki). Maka golongan yang tamakkan kehidupan dunia berkata “Alangkah baiknya kalau kita perolehi sepertimana yang diperolehi oleh Qarun, iaitu kekayaan yang melimpah dan kemuliaan yang besar”. (Surah al-Qasas, ayat 79).
  • Dan Qarun, Fir`aun  dan Haman, sesungguhnya telah datang kepada mereka Musa alaihissalam dengan segala mukjizat yang jelas sebagai bukti kenabiannya , namun mereka tetap takabbur di muka bumi dan mereka tidak terlepas daripada azab perit Allah Taala.   (Surah al-Ankabut, ayat 39).
  • Dan sesungguhnya Kami telah utuskan Musa dengan ayat-ayat Kami dan kekuasaan yang jelas (hujjah yang nyata) kepada Fir-aun, Haman dan Qarun, lalu mereka mengatakan (menuduh Musa) sebagai ahli sihir yang menipu. (Surah Ghafir, ayat 23-24).
Qarun berketurunan Bani Israel dan merupakan sepupu Nabi Musa  bin Imran bin Qahath bin Lawa bin Ya`aqub. Adapun Qarun pula bin Yashhar bin Qahath bin Lawa bin Ya`aqub.  Qarun dikenali sebagai al-Munawwir lantaran rupa parasnya yang tampan. Disebabkan kemerduan suaranya ketika membaca kitab Taurat, dia juga digelar al-Nur (cahaya).  Beliau terkenal di kalangan Bani Israel sebagai individu yang paling mahir tentang kitab Taurat (seorang cendikiawan Islam).  

SEJARAH AWAL QARUN
Awal kehidupan Qarun amat begitu miskin dan mempunyai ramai anak. Namun dia berhati mulia lagi dermawan terhadap golongan faqir miskin. Malah ramai dikalangan faqir miskin yang berdoa “Wahai Tuhan kami…biarlah Qarun jadi  kaya-raya  walaupun kami miskin…mudah-mudahan dia dapat memberi sumbangan derma kepada kami yang miskin ini”. Doa ini pernah dilafazkan di hadapan Qarun hingga menyebabkan dia sendiri merasakan dirinya lebih berhak menjadi kaya demi untuk menyumbang derma kepada orang lain. Lantaran itu dalam suatu kesempatan, dia pernah minta Musa alaihissalam  mendoakannya kepada Allah agar diberikan kekayaan harta benda dan permintaan tersebut dimakbulkan oleh Tuhan. Meskipun begitu Qarun kufur nikmat Allah  yang diberikan kepadanya lalu diazab  oleh Allah. Dia  mati dengan berstatus murtad dalam keadaan tertimbun  lalu tenggelam beserta harta bendanya bersama para pengikutnya dalam tanah dalam waktu semalaman di sebuah kawasan yang terletak dalam daerah al-Fayyum, Mesir. (juga dikenali sebagai Danau Qarun).
Berdasarkan empat petikan mafhum ayat-ayat yang tersebut di atas, penyebutan dan juga penampilan nama Qarun membawa kisah dan pengertiannya yang tersendiri.
  • Dalam surah al-Qasas ayat 76, Allah Taala nyatakan nama Qarun sebagai bekas pengikut Nabi Musa (Hizbullah) yang paling warak lagi dermawan serta mahir menguasai Kitab Taurat tapi akhirnya kecundang dikuasai hawa nafsunya setelah beliau dikurniakan kekayaan yang melimpah ruah. Lantaran sifat dermawannya, Qarun sering didoakan oleh Kaum Bani Israel yang miskin agar beliau diberikan kekayaan supaya lebih senang untuk menderma kepada mereka yang miskin dan kurang bernasib baik. Malangnya setelah Qarun menjadi kaya, nafsu tamak halaba telah menguasai dirinya 
  • Dalam surah al-Qasas ayat 79, Allah Taala tampilkan nama Qarun yang penuh keangkuhan menjadi dambaan serta impian golongan manusia yang tamakkan harta kekayaan duniawi.
  • Dalam surah al-Ankabut ayat 39, nama Qarun disebut terlebih dahulu daripada nama Fir`aun dan juga Haman (hizbusyaitan) lantaran sikap takabburnya yang begitu melampaui batas. Haman adalah individu yang bertanggungjawab menyebabkan Fir`aun menjadi bertambah sesat dan kedua-dua mereka ini adalah daripada golongan orang-orang kafir yang menentang kerasulan Musa alaihissalam. Adapun Qarun pula, beliau adalah bekasan individu mukmin yang paling rapat dengan Nabi Musa tetapi akhirnya murtad dan menyertai hizbusyaitan untuk menentang Musa alaihissalam.
  • Dalam konteks penentangan Nabi Musa terhadap kuasa kezaliman politik manusia, nama Qarun disebut selepas Fir`aun dan juga Haman sepertimana dalam surah Ghafir ayat 24.  Sebagai makluman tambahan, pada zaman itu Fir`aun dan Haman yang berbangsa Qibti menguasai percaturan politik dan kerajaan. Manakala kaum Bani Israel hanyalah  golongan bawahan yang sering menjadi mangsa penindasan Qibti kecuali Qarun. 
Dalam Kitab Tafsir al-Mu`minin, al-Syeikh Abdul Wadud Yusuf turut menyebut peranan jahat Qarun bersama Fir`aun dan Haman dalam usaha mereka menyekat kebangkitan mereka yang beriman kepada Allah dan rasulNya; iaitu membunuh sekalian anak-anak lelaki Bani Israel dan membiarkan anak-anak perempuan hidup setelah tongkat Musa alaihissalam menelan segala sihir-sihir sekalian ahli-ahli sihir yang dikumpulkan oleh hizbisyaitan ini dalam satu perlawanan yang diadakan di kolosium (stadium). Perlawanan tersebut bertujuan untuk memalukan Nabi Musa. Namun perkara sebaliknya pula yang berlaku di mana puak Hizbusyaitan ini pula yang mendapat malu besar apabila para ahli sihir tersebut berpaling tadah dan beriman dengan kerasulan Musa alaihissalam. 
Tindakan ahli-ahli sihir yang berpaling tadah menyebabkan ramai orang awam yang turut sama menyertai mereka. Situasi ini juga menyebabkan kemarahan Fir`aun semakin membuak-buak untuk membunuh Musa. Katanya “Biarkanlah aku membunuh Musa. Semoga Tuhannya dapat melindunginya (Musa). Sesungguhnya tindakan Musa ini amat merbahaya. Aku bimbang sekiranya agamanya berjaya, maka agama dan system pemerintahan kamu (bangsa Qibti keturunan Fir`aun) akan lenyap dan agamanya akan menguasai segalanya. Sekiranya agama beliau menang, pasti sekali dunia ini akan dipenuhi dengan kerosakan”.
 Sebenarnya tindakan keras dengan membunuh anak-anak lelaki Bani Israel oleh Hizbusyaitan ini telah dilakukan sejak awal sebelum kelahiran Nabi Musa lagi selepas ahli nujum Negara Fir`aun mena`wilkan mimpi Fir`aun; bahawa akan muncul di kalangan anak-anak lelaki Bani Israel ini seorang pemuda yang akan meruntuhkan empayarnya. Walaupun begitu, niat jahat Fir`aun dihalang oleh isterinya, Asiah selepas penemuan Musa dalam sebuah kotak di pinggir istana Firaun yang dihanyutkan oleh ibunya dalam sungai Nile. Malah Asiah juga berjaya melembutkan hati Fir`aun dengan izin Allah agar Musa alahisalam diambil sebagai anak angkat dan dibesarkan di istana.   
Mudah-mudahan kisah Qarun dan hizbusyaitan ini dijadikan iktibar oleh sekalian pejuang Islam kontemporari terutama sekali para Wakil Rakyat yang menentang kezaliman hizbusyaitan agar tabah mengawal nafsu masing-masing selepas mendapat mandat daripada rakyat. Janganlah leka dengan setiap kemewahan duniawi yang dikecapi hasil daripada mandate tersebut dan janganlah juga  terlalu asyik mengejar kemewahan hingga mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat.

REZEKI

MAKSUD REZEKI DALAM ISLAM 

Bagaimana sebenarnya maksud rezeki di dalam Islam? 

Rezeki di dalam Islam bukan hanya terhad kepada wang dan harta. Jangkauan rezeki yang disebut oleh Allah ta'ala dan Rasulullah terlalu amat luas meliputi rezeki yang rencam. Hakikatnya orang yang ‘memberi' dan menyumbang akan memperolehi pulangan dari Allah dalam bentuk yang amat pelbagai, juga mencakupi material dan spiritual. 

Namun sebelum itu, perlu difahami, sebagaimana rezeki yang tidak boleh dikecilkan skopnya hanya kepada harta, begitu juga ‘pemberian' dan ‘sumbangan' yang juga tidak terhad kepada wang dan harta.Mengajak orang kepada kebaikan dan melarangnya dari kemungkaran adalah sebuah pemberian berharga, membantu mereka yang melakukan kerja yang baik itu pemberian, dan menahan diri dari melakukan maksiat itu sendiri merupakan sebuah pemberian amat bermakna. 

Apa yang jelas, semua jenis ‘pemberian' dan ‘sumbangan' itu adalah amalan kebajikan apabila ia menepati dua syarat yang paling minima iaitu :- 

1) Ikhlas kerana Allah 

2) Ia berupa sumbangan ke arah kebaikan berdasarkan penilaian hukum Islam. 

Justeru, apa sahaja yang disumbangkan, sama ada idea, ilmu, teguran, nasihat, tenaga untuk kerja, masa, perasaan, emosi dan sebagainya untuk membawa kebaikan untuk Islam, ia adalah sumber terbukanya rezeki di sisi Islam. Ia juga merupakan sumber kewujudan unsur ‘berkat' di dalam kehidupan dan harta. 
 

Setinggi-tinggi darjat insan soleh, dia mampu mengekang dirinya di ketika menyumbang dari terpengaruh oleh fikiran atau bisikan seperti, "apa balasannya di dunia"?. 

Apa yang akan menjadi dorongan dan motivasi utama hanyalah apa yang bakal diperolehi di akhirat. Bukan ganjaran di dunia yag difikirkan. Apa yang diinginkan untuk dunianya hanyalah memperolehi rezeki yang BARAKAH atau berkat. 

Menurut para ulama ‘barakah' atau berkat itu adalah :- 

هي ثبوت الخير الإلهي في الشيء؛ فإنها إذا حلت في قليل كثرته، وإذا حلت في كثير نفع، ومن أعظم ثمار البركة في الأمور كلها إستعمالها في طاعة الله عز وجل. 

Ertinya : iaitu kepastian kebaikan disisi Ilahi pada sesuatu perkara, yang mana apabila ia jatuh kepada perkara yang sedikit ia akan menambah banyakkan ia, dan apabila ia jatuh kepada yang banyak, ia akan menambah manfaatnya, dan sehebat-hebat hasil keberkatan dalam seluruh perkara adalah apabila ia digunakan kembali untuk membawa ketaatan kepada Allah azza wa jalla. 

Walaupun begitu, tidak ramai manusia yang mampu mencapai darjat tersebut, dan masih ramai individu soleh yang melakukan kebaikan, namun masih sering terfikir-fikir tentang ganjaran buatnya untuk dinikmati di dunia ini lagi. 



HASIL YANG KITA PEROLEHI

Bagi membuka minda kita semua akan bentuk-bentuk balasan yang mampu diperoleh hasil dari segala sumbangan kebaikan yang kita lakukan di dunia ini. Secara ringkas, saya bahagikan ganjaran yang boleh diperolehi sejak dari alam dunia ini lagi, semua ganjaran-ganjaran ini mempunyai dalil dan athar yang tersendiri, namun bagi mengelakkan terlalu panjang, saya tidak menyertakan semua dalilnya. Balasan tersebut adalah seperti berikut :-

a. Keberkatan dalam kehidupan berkeluarga 

- Rumahtangga kita didamaikan oleh Allah dari sebarang pergaduhan besar yang meruntuh kepercayaan dan kebahagian si suami, isteri dan anak. 

- Hati dan fikiran dikurniakan ketenangan yang akhirnya memberikan kesan positif kepada produktiviti kita di tempat kerja dan tugas, lalu mendapat kenaikan gaji dan pangkat. 


b. Kesihatan 

- Allah selamatkan kita dan keluarga dari penyakit. 

Nabi bersabda : 

صنائع المعروف تقي مصارع السوء والآفات والهلكات 

Ertinya : Perlakuan perkara kebaikan mampu menghalang dari terjerumus dalam keburukan, kecatatan dan kebinasaan. (At-Tabrani, Al-Haitahami : sanadnya Hasan) 

- Kita diselamatkan dari kemalangan dan bencana seperti di jalanraya, di dalam rumah, luar rumah, di tempat kerja dan sebagainya. Namun perlu diingat, ADA JUGA TERDAPAT HARTA YANG BERKAT TETAPI DITIMPA MUSIBAH DAN BENCANA, namun tanda berkatnya ia adalah bencana dan musibah itu membawanya lebih hampir kepada Allah dan bukan semakin jauh. Itulah fungsi keberkatan harta itu, ia hilang dan ditimpa musibah sebagai asbab untuk kebaikan tuan miliknya.JUSTERU, bukan tugas kita untuk menuduh harat si polan itu berkat atau tidak berkat setiap kali ditimpa musibah kerana kita TIDAK TAHU HAKIKAT SEBENARNYA. 

- Dikurniakan zuriat yang sihat dan jika sakit sekalipun, ia tidak seteruk mereka yang lebih parah sakitnya. 


c. Harta 

- Dihindar dari mendapat kerjaya yang haram dan terselamat dari sebarang jawatan atau kenaikan pangkat yang memudaratkan masa hadapan. Perlu diingat bukan semua kenaikan pangkat itu baik untuk hati dan jiwa manusia, ada sebahagian besar jawatan yang menghancur dan mengubah habis jiwa kebaikan dalam diri seseorang kepada jiwa penerima rasuah, tamak, rakus kuasa dan sebagainya. 

- Direndahkan minat dan nafsu kepada harta dan pendapatan haram serta diberi kekuatan untuk istiqamah dalam yang halal. Inilah yang boleh digelar sebagai salah satu dari cabang ‘zuhud', iaitu kebebasan jiwa dan hati dari keterikatan dengan harta dunia. Jika diperolehi, syukur dipanjatkan, jika ia hilang dan pergi tidaklah terlalu ditangisi. 

- Diberikan rasa cukup dan selesa dengan pendapatan yang diperolehi kini walau zahirnya kelihatan kurang mencukupi. Inilah dinamakan oleh ulama tasauf sebagai Qana'ah iaitu berasa cukup dengan apa yang telah ada, tetapi tidak henti untuk terus menerus memperbaiki diri dan kerja. 

- Kenderaan yang digunakannya jauh lebih baik dari kenderaan yang jauh lebih mahal darinya. Begitu juga harta-hartanya yang lain seperti rumah dan lokasinya, diberi rezeki oleh Allah untuk berada di persekitaran yang baik, berjiran dengan mereka yang tidak menimbulkan banyak masalah. 

- Sumber pendapatan tambahan boleh datang secara tanpa disangka-sangka. Ia tidak semestinya dalam masa terdekat, ia mungkin berlaku 10 atau 20 tahun akan datang. Ini termasuklah di dalam tawaran Allah yang disebut di dalam durah at-Talaq, yang dinamakan oleh ramai sebagai ayat seribu dinar : 


وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا 

Ertinya : Barang siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. ( At-Talaq : 2-3) 

Namun perlu diperhati sejelas-jelasnya, ayat di atas mensyaratkan seseorang untuk menjadi ‘BERTAQWA' sebagai jalan dibuka jalan kemudahan dan kebaikan dari pelbagai sumber tidak dijangka. Tidaklah sama sekali tepat pandangan ramai yang mengaitkan ‘gantung' ayat tersebut di rumah dan kedai sebagai cara meningkatkan rezeki dan pendapatan, tanpa bersifat taqwa di dalam kerjaya, perniagaan dan tugasan. Sedangkan hakikatnya, taqwa itulah kuncinya, bukan dengan menggantung ayat tersebut dan sebagainya. 

Ibn Abbas menegaskan maksud jalan keluar di atas sebagai jalan keluar dari perkara syubhat di dunia, jalan keluar untuk menghadapi kematian, dan kesukaran di hari kiamat. (Tafsir Al-Qurtubi) 


d. Sekeliling yang baik 

- Dipermudah oleh Allah untuk berada di tempat dan persekitaran yang baik dan tidak merbahaya untuk diri dan keluarga. 

- Kewujudannya menjadi pelopor kepada kebaikan mereka yang disekitarnya, penyekat kepada kemaksiatan. Ia bertepatan dengan sebuah sabdaan Nabi: 

إن من الناس مفاتيح للخير مغاليق للشر وإن من الناس مفاتيح للشر مغاليق للخير فطوبى لمن جعل الله مفاتيح الخير على يديه وويل لمن جعل الله مفاتيح الشر على يديه 

Ertinya : Dari kalangan manusia ada yang menjadi kunci kebaikan dan penutup serta penghalang kepada kejahatan. Dan ada pula yang menjadi kunci kejahatan dan penutup kebaikan, bergembiralah bagi sesiapa yang dijadikan oleh Allah sebagai kunci kebaikan di tangannya, dan celakalah mereka yang kunci kejahatan di tangannya ( Riwayat Ibn Majah : Sohih ) 



KESIMPULAN 

Terlalu banyak cara dan kaedah untuk Allah membalas baik sangka hambaNya dan amalan kebaikan hambaNya. Sama ada di dunia atau akhirat. 

Lalu apa yang menjadi penghalang kini hanyalah ‘hati' masing-masing. 

Jika hati itu masih belum mampu menyakini maha Pemurahnya Allah ta'ala. 

Masih belum boleh menyakini Allah akan membalasnya. 

Masih belum yakin wujudnya Allah dan ganjaran kebaikan-Nya. 

Selagi itu, seseorang itu akan sentiasa dihambat pelbagai perasaan tamak, kedekut dan malas ketika ingin memberi. 

Jalan awal penyakit tersebut adalah ‘malas' dan dikuti berterusan melakukan dosa dan berasa jalan ‘dosa' itu adalah cara pendapatan yang terbaik baginya. 

Individu seperti ini tidak sama sekali sedar, keterlibatannya dalam perkara haram HANYA AKAN LEBIH MENAMBAH JAUHNYA DIA DARI SEBARANG REZEKI HARTA DAN KETENANGAN. Nabi pernah bersabda : 

لا يزيد في العمر إلا البرولا يرد القدر إلا بالدعاء وإن الرجل ليحرم الرزق للخطيئة يعملها 
Ertinya : Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan[1], dan tidak akan ditolak qadar Allah (iaitu qadar al-Mu'allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu DITAHAN REZEKINYA disebabkan dosa-dosa yang sentiasa dilakukannya" ( Riwayat Ibn Majah, Ahmad Hadis Hasan) 

Justeru, jangan jadikan posisi kesukaran diri di waktu ini sebagai excuse untuk melibatkan diri dalam perkara yang haram, kerana ia sama sekali bukan jalan keluar tetapi ia jalan buntu dan hanya akan melebarkan bencana terhadap diri dan keluarga. 

Imam Ibn Kathir pernah mengulas bahawa apabila manusia melupakan soal dosa pahala dalam harta dan kehidupan mereka maka 

وَلَـكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ 

Ertinya : Tetapi mereka telah mendustakan ( tidak patuh kepada hukum Islam), maka kami rampas dari mereka apa-apa yang telah mereka usahakan (Al-A'raf : 96 ) 

PERKEMBANGAN POTENSI, JANGAN ASYIK MEMBUAT ‘EXCUSE' 

Apa yang perlu dilakukan adalah memanfaatkan duit simpanannya untuk mempelajari ilmu yang boleh digunakan untuk memperkembang potensi diri, bukan dengan menceburi skim-skim haram itu. Dan kemudian mengemukan alas an serta excuses yang pelbagai. Lihat ulama tabi'en berkata : 

من طلب العلم تكفل الله برزقه 

Ertinya : Barangsiapa yang menuntut ilmu Allah seolah telah menjamin rezekinya ( Kanzul Ummal, 10/139) 

Ilmu itulah yang akan menerangkan kita jalan untuk bekerja dengan sebaik mungkin, dalam keadaan halal dan seterusnya membuka lebih banyak pintu rezeki. Semua ini perlu dilakukan tanpa malas. Atas dasar itu Nabi mengingatkan :- 

لو أنكم توكلون على الله حق توكله لرزقكم كما يرزق الطير تغدو خماصاً وتروح بطاناً 

Ertinya : Kalau kamu benar-benar bertawakkal kepada Allah, nescaya akan diberikan rezeki kepadamu sebagaimana diberikan rezeki kepada burung-burung, yang keluar dengan perut lapar di pagi hari, pulang dalam keadaan kenyang. 

Para ulama menyebut dengan jelas lagi terang, maksud tawakkal dalam hadis di atas merujuk kepada usaha, ilmu dan bersungguh dan sesudah itu bersangka baik kepada Allah.

Sesiapa yang bersangka baik kepada Allah, Allah akan menunaikan sangkaan baiknya. Begitu juga sebaliknya. 

Akhir sekali, Nabi menasihatkan seorang sahabat yang agak kerap memohon bantuan harta dari Nabi s.a.w:- 

يا حكيم إنّ هذا المال خضرة حلوة فمن أخذه بسخاوة نفس بورك له فيه، ومن أخذه بإشراف نفس لم يبارك له فيه، كالذي يأكل ولا يشبع 

Ertinya : Wahai Hakim, sesungguhnya harta merupakan seperti buahan yang subur, manis lagi disukai, barangsiapa yang mengambilnya dengan jiwa yang zuhud (dan tidak meminta-minta) nescaya akan diberkati baginya pada harta itu, barangsiapa mengambilnya dengan tinggi diri (serta tamak) tiada berkat di dalamnya, sebagaimana orang yang makan tetapi tidak kenyang" (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)