Wednesday, 24 April 2013

Hubung kait Rezeki Dan Kekayaan

Manusia seringkali mentafsir bahawa rezeki adalah harta kekayaan atau keuntungan dari hasil sesuatu pekerjaan. Pada hakikatnya, pengertian rezeki lebih luas. Rezeki ialah segala keperluan hidup seperti keamanan, kebahagiaan, ketenangan, perlindungan, keamanan, ilmu, sifat-sifat terpuji saperti ikhlas, reda, syukur, tawadhu, khusyuk dalam sembahyang dan sebagainya. Secara umumnya rezeki adalah segala pemberian atau nikmat yang diberikan oleh Allah kepada hamba-hambanya.

Mengenai rezeki yang berupa harta kekayaan, ada orang mendapat rezeki yang berkat dan ada juga yang membawa celaka. Untuk mendapat keberkatan rezeki tersebut semestinya diperolehi dengan cara-cara yang halal dan ditambah lagi dengan rasa kesyukuran, sementara rezeki yang tidak berkat diperolehi dengan cara yang tidak dibenarkan syara' dan diiringi dengan tamak haloba dan sangat mementingkan kebendaan sehingga lupa kewajiban dan tuntutan syara'. Rezeki yang berkat akan menambahkan kedamaian, memperkukuhkan keimanan dan membentuk akhlak dan peribadi yang terpuji, memberikan kepuasan,memberikan kesihatan mental fizikal dan spritual. Ia juga akan memberi pengaruh terhadap ketenteraman, keamanan,sejahtera, keharmonian dan kehidupan berkeluarga, anak isteri patuh dan mendengar cakap, tidak mendatangkan masalah. Malahan rezeki yang berkat juga berperanan terhadap masyarakat dan negara saperti yang di alami oleh Negeri Saba'. Rakyatnya rukun damai,tanahnya subur,pohon-pohonnya berbuah.

Perlu dinyatakan bahawa Allah adalah pemberi rezeki kepada semua makhluk. Manusia sesungguhnya tidak mampu melakukannya, untuk memberi makan semua ikan di laut saja kita tidak akan sanggup. Perkara ini membuktikan bahawa kemampuan dan keupayaan manusia adalah terbatas. Tugas manusia berusaha tetapi yang menentukan usaha tersebut berhasil atau gagal, mendapat rezeki atau tidak, banyak atau sedikit adalah anugerah Allah Subhanahu Wataala.

Dalam Surah Al Isra ayat 70 Allah berfirman yang bererti:
" dan sesungguhnya telah kami muliakan anak-anak Adam, kami angkut mereka di daratan dan di lautan, kami berikan mereka rezeki yang baik".

Dalam Surah Hud ayat 6 Allah berfiman:
" Dan tidak ada satupun binatang yang melata dibumi ( yang tidak dapat rezeki) melainkan Allah yang memberi rezekinya"

Firman Allah Surah Saba' ayat 24 :
" Katakanlah olehmu ( wahai Muhammad) siapa yang memberi rezeki dari langit dan bumi? Katakan " Allah".

Firman Allah Surah Al Isra' ayat 31:
" Janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan miskin. Kamilah yang akan memberikan rezeki kepada mereka dan juga kepada kamu.

Oleh kerana yang memberi dan mengatur rezeki tersebut hanya Allah, maka sebagai orang yang beriman kita perlu membaiki hubungan kita kepadaNya di samping membaiki hubungan sesama manusia dan sesama makhluk yang lain.

Dalam halaman-halaman berikut dicatatkan beberapa amalan yang boleh mendatangkan rezeki yang luas dan berkat.

AMALAN - AMALAN MURAH REZEKI

1.Bertaqwa dan beribadat kepada Allah
    a. Bertaubat dan beristighfar
    b. Menunaikan solat fardhu dan mengamalkan solat sunat
        terutamanya Solat Hajat dan Solat 
Dhoha.
    c. Berpuasa
    d. Bersyukur
    e. Bertawawakkal
    f.  Membaca Al Quran, berdoa dan berzikir

2.Membuat kebajikan kepada manusia
   a. Bersedekah
   b. Memberi nafkah kepada ahli keluaga
   c. Membayar zakat
   d. Memanfaatkan harta di jalan Allah
   f. Membantu orang yang kesusahan

Sunday, 21 April 2013

Punca rezeki sukar diperolehi / penghalang rezeki.


     Sesungguhnya pada diri setiap manusia, telah ditetapkan bagi mereka rezekinya sejak roh ditiupkan pertama kali ke dalam kandungan ibu. Sebagaimana telah disebutkan bahwa rezeki telah ditetapkan, hanya tinggal bagaimana cara kita meraih rezeki tersebut. Sama ada dengan jalan halal dan penuh keberkatan, ataupun dengan jalan haram yang mengundang kemurkaan Allah. Maka tidak salah jika ramai yang lebih suka mengatakan menjemput rezeki daripada mencari rezeki.

Bila pintu rezeki ditutup Allah, maka dunia terasa menghimpit. Islam telah mengajar umatnya bahawa meninggalkan ketaqwaan di dalam apa jua aspek kehidupan akan mengundang kemiskinan dan kemelaratan. Macam-macam kemiskinan boleh berlaku bila taqwa tidak dimiliki. 

Semuanya termaktub di dalam alquran dan sunnah Rasulullah SAW. Tidak miskin harta, seseorang yang melakukan dosa terus menerus tanpa taubat boleh jadi miskin iman, miskin hidayah, miskin ilmu, miskin akhlak dan adab, miskin maruah dan jati diri. Dalam kata-kata yang lain, kalau taqwa menjadi faktor ‘pengundang’ rezeki, keberkatan dan rahmat Ilahi, maka kesan dosa, maksiat dan mungkar adalah sebaliknya. 

Lalu, pernahkah selama ini terfikir dan terlintas di hati kita, bahawa dosa yang kita lakukan samada terhadap Allah dan sesama manusia selama ini menjadi faktor atau penyebab ‘sempit’ dan ‘terhalang’nya rezeki Allah dari rezeki kita? Tersebut di dalam sebuah kitab Musnad, “Sesungguhnya manusia terhalang dari rezeki lantaran dosa yang dilakukannya.”

Dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ad Dailami, Rasululah SAW bersabda: “Perbuatan zina itu mewariskan (mendatangkan) kefakiran (kemelaratan) .”  

Tanpa asas taqwa, seandainya seseorang itu dilihat melimpah ruah hartanya sekalipun, ia tak lebih merupakan ‘istidraj’ dari Allah. Itulah pemberian yang disertai laknat dan kutukkan. Mahukah kita dikurniakan rezeki sebegitu? Mahukan kita pemberian yang sedemikian? Kalau jawapan kita ‘ya’, maka kita tak lebih umpama Qarun, Tha’labah Yahudi Mabuk serta yang sama waktu dengan mereka. 

Bagi golongan ini wang, harta dan kemewahan adalah segala-galanya. Dari mana punca dan sumbernya, tidak pernah diambil kira. Mereka langsung tidak memperdulikannya. Lihat kesudahan mereka. Tiada apa lagi yang boleh menahan mereka daripada terkubur hina bersama dengan harta haram dan syubhat yang mereka usahakan selama ini. 

Firman Allah s.w.t.yang bermsksud :
“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya.” (Surah At-Talaq ayat 2-3)

Antara punca-punca rezeki sukar diperoleh :

1) Jauhnya hubungan dengan Allah S.W.T.

2) Dosa.

3) Punca rezeki yang tidak berkat.

4) Bakhil. (Tidak bersedekah dan mengeluarkan zakat.)

5) Tidak mensyukuri nikmat yang diberi.

6) Ujian.

Kadangkala seseorang pernah bertanya pada diri sendiri, “Kenapa rezekiku  sempit?  Buat berbagai usaha tetapi masih gagal mencapai matlamatnya?Berniaga merosot, puas aku berdoa dan minta pertolongan Allah tetapi masih tidak dimakbulkan-Nya?”

Perlu di ingat bahawa Allah S.W.T. Maha Mengetahui apa akan berlaku kepada para hamba-Nya dilambatkan permohonannya adalah untuk kebaikan hambanya sendiri. Kerana takwanya belum mantap, maka diuji lagi supaya semakin banyak ia berusaha, berdoa dan bertawakal maka akan melahirkan hubungan yang erat hatinya dengan Allah S.W.T. dan Dia ingin memberikan pahala yang besar kepadanya diatas kesabarannya. Oleh itu kita kena berbaik sangka dengan Allah S.W.T. berdoa dan terus berdoa jangan putus asa. Cepat atau lambat dikabulkan doa kita adalah urusan Allah S.W.T.

Sebagai kesimpulan, terdapat banyak perkara yang boleh menghalang dan membuatkan begitu mahalnya rezeki kepada kita.  Dalam usaha mencari rezeki di atas dunia ini, jangan sampai menjauhkan kita daripada beribadah dan mangingati Allah. Oleh itu, kita perlu bertawakal kepada Allah dengan hakikat tawakal yang sebenarnya. Kita mesti berusaha dan berikhtiar tetapi meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah. Kalau dapat apa yang kita inginkan, bersyukurlah. Kalau sebaliknya, bersabarlah dan berbaik sangka dengan Allah. Yang penting, kita mesti tahu meletakkan kepentingan antara dunia dan akhirat. Jangan gadaikan akhirat dengan habuan dunia yang sementara ini. Berusaha dan berikhtiarlah, kerana ia sunnatullah. Tetapi ingat, ia tidak akan dapat mengatasi takdir Allah S.W.T.

* Pengisian ini diolah daripada beberapa blog. Semoga apa yang di sampaikan dapat memberi manfaat bersama.

Maksud Rezeki dan Kekayaan dalam Islam

Rezeki di dalam Islam bukan hanya terhad kepada wang dan harta. Jangkauan rezeki yang disebut oleh Allah ta'ala dan Rasulullah terlalu amat luas meliputi rezeki yang rencam.  Hakikatnya orang yang ‘memberi' dan menyumbang akan memperolehi pulangan dari Allah dalam bentuk yang amat pelbagai, juga mencakupi material dan spiritual.
Rezeki adalah sesuatu yang telah dijamin oleh Allah kepada seorang hambanya. Rezeki yang kita dapat tu bukan hak mutlak kita seorang, ada hak orang lain di dalamnya.

Allah SWT tidak membebani manusia harus menjadi seorang yang kaya harta. Allah SWT hanya membebani manusia agar berusaha sesuai dengan kemampuan. Dan hasil itu adalah di tangan Allah. Allah SWT  telah melapangkan dan menyempitkan rezeki seorang sesuai dengan kehendak-Nya. 
Dan itu merupakan taqdir kauni, sebagaimana firman-Nya :

أَوَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

”Dan tidakkah mereka mengetahui bahwa Allah melapangkan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa saja yang dikehendaki-Nya ? Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang beriman” [QS. Az-Zumar : 52].

Kedudukan harta dan kekayaan tidak boleh sejajar atau bahkan lebih tinggi dengan kedudukan iman dan ibadah kepada Allah. 
Hal itu sebagaimana yang disiratkan Allah SWT  dalam ayat-Nya :

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِنْدَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلا

”Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi shalih adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan”
 [QS. Al-Kahfi : 46].


Kekayaan adalah amanah daripada Allah yang mesti diuruskan dengan sebaik-baiknya. Konsep amanah ini menunjukkan bahawa segala kekayaan yang dianugerahkan oleh Allah adalah merupakan pinjaman semata di dunia ini. Walaubagaimanapun, yang Maha Pemurah dan Maha Luas sifatnya memberikan kebebasan kepada hambanya menggunakan nikmat ini untuk manfaat dunia dengan berpandukan Syariah.
Melaksanakan amanah ini dengan baik bukan sahaja akan mendapat kesenangan duniawi, malahan Allah akan memberikan ganjaran pahala sebagai bekalan di Akhirat nanti.
Selain itu, kekayaan adalah merupakan salah satu jalan menuju kejayaan. Ayat 10-12, Surah As-Saff yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. Nescaya Allah mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai, dan ke tempat tinggal yang baik di dalam surga 'Adn. Itulah kemenangan yang agung."
Dengan memahami kedua-dua konsep kekayaan dalam Islam ini, maka aspek perancangan kewangan perlulah diberi perhatian. Melaksanakan perancangan kewangan yang baik dan berkesan merupakan suatu Ibadah dengan tujuan menjaga Amanah daripada Allah dan salah satu cara mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat sepertimana janji Allah yang disebutkan diatas.
Seorang Muslim yang beriman itu adalah baik, tetapi seorang Muslim yang beriman dan menggunakan kekayaan anugerah Allah untuk kemaslahatan(kebaikan) ummah adalah amat disukaiNya.

Monday, 8 April 2013

Zaman orang tidak peduli sumber pemerolehan harta

Sabda Rasulullah s.a.w, Akan datang suatu zaman seseorang tidak mempedulikan dari mana ia mendapatkan harta, apakah daripada sumber yang halal ataupun haram. - Abu Hurairah r.a.
Di zaman sekarang ini merupakan zaman ketandusan rohani dan zaman materialisme, segala sesuatu adalah bernilai dengan nilai harta. Manusia cakar-cakaran untuk memperolehi harta sebanyak yang mungkin. Meraka tidak mempedulikan dari mana datangnya harta yang diperolehi, apakah dari sumber yang halal atau dari sumber yang haram. Yang penting harta dapat dikumpulkan sebanyak-banyaknya untuk memenuhi kehendak nafsu ataupun melayan kehendak isteri dan anak-anak mereka.  


Bahaya Kekayaan melimpah ruah

Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umar r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah s.a.w. melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah). 

Kemudian Rasulullah bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu seperti mana kamu memasang kelambu Kaabah?".Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah s.a.w. tentunya diwaktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki". Lalu Rasulullah bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik keadaan kamu di hari itu". - Riwayat Tarmizi

Erti Hadis :

Hadis ini menerangkan bahawa manusia yang mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan, pagi dan petang pakaian silih ganti, hidangan makanan tidak putus-putus, rumah tersegam indah dengan hiasan yang bermacam-macam sering menyangka apabila semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadat.


Namun Rasulullah s.a.w. mengatakan, "Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita". ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat. Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang dari beribadat kepada Allah s.w.t. seperti mana yang berlaku hari ini. Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang dari beribadah. Kita sibuk menghimpun harta dan sibuk menjaganya serta sibuk untuk menambah lebih banyak lagi. Tidak ubah seperti apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w, "Seandainya seorang anak adam itu telah mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk cari jurang yang kedua, sehinggalah dia masuk kedalam tanah (menemui kematian)".

Begitu gambaran yang sebenar terhadap ketamakan manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian. Maka ketika itu, barulah ia sedar dengan seribu satu penyesalan. Tetapi di saat itu sudah tidak berguna lagi. Biarlah kita mencari harta benda dunia pada batas-batas keperluan sahaja, kalau berlebihan bolehlah digunakan untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak. Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan ia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya. 

Sunday, 7 April 2013

Hukum orang yang mampu bekerja

Diamnya orang yang mampu bekerja, adalah haram.

Setiap muslim tidak boleh bermalas-malasan untuk bekerja dalam mencari rezeki dengan alasan kerana sibuk beribadah kepada Allah serta malas dalam kehidupan, ini adalah kerana langit ini tidak akan mencurahan hujan emas.

Haram juga hukumnya apabila seorang muslim hanya menggantungkan dirinya kepada sedekah orang, padahal dia masih mampu berusaha untuk memenuhi kepentingan dirinya sendiri dan keluarga serta tanggungannya. Sabda Rasullullah :

Sedekah tidak halal buat orang kaya dan orang yang masih mempunyai kekuatan dengan sempurna. -Riwayat Termizi.


Kekayaan menurut pandangan Islam Dan Barat

Kekayaan menurut pandangan Islam


Kekayaan dalam islam adalah berlandaskan syariat islam. Oleh yang demikian banyak nilai-nilai murni dalam agama yang diserapkan dalam konsep asas ekonomi islam ini. Berikut adalah asas tersebut :
  
Pemilikan adalah hak Allah

Segala apa yang ada di langit dan bumi adalah milik Allah . Manusia hendaklah berkongsi nikmat ini dengan mewujudkan keseimbangan dan keharmonian dalam masyarakat . Firman Allah dalam surah Al Maidah ayat 17 yang bermaksud :
Kepunyaaan Allahlah kerajaan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya.
Islam menggalakkan umatnya agar mensyukuri nikmat kurniaan Allah iaitu dengan menggunakannya ke jalan yang diredai Allah. Antara cara yang boleh digunakan untuk menunjukkan kesyukuran ialah :
  • Sentiasa memikirkan kebesaran Allah kerana nikmat yang dikurniakan .
  • Menggunakan nikmat dengan cara dan jalan yang betul.
  • Mengagihkan nikmat yang dikurniakan kepada golongan yang memerlukan .
  • Tidak kufur dengan nikmat kurniaan Allah.  

Kebebasan Individu
 
Islam tidak melarang umatnya dalam mencari harta kekayaan dunia. Nabi Muhammad swt dalam satu hadisnya yang bermaksud :
Berkerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya,dan beribadatlah seperti kamu akan mati esok .
Daripada hadis di atas jelas menunjukkan kebebasan individu untuk mencari kekayaan dunia. Islam juga membenarkan umatnya menjalankan pelbagai bentuk ekonomi selagi ianya selari dengan apa yang digariskan dalam Al Quran dan al Sunnah.


Ketidaksamaan ekonomi dalam batasan semulajadi

Perbezan dalam ekonomi memang wujud secara semulajadi di dunia ini . Islam adalah agama yang adil dan sememangnya tidak membiarkan perbezaan ini menjadi terlalu jauh . Kekayaan yang dimiliki oleh golongan tertentu di kongsi dengan orang lain iaitu dengan mengeluarkan zakat harta bagi yang berharta dan zakat fitrah untuk semua orang islam.
 

Pengagihan kekayaan secara meluas
 
Islam memgagihkan kekayaan terhadap umatnya secara sekata tanpa menumpukannya kepada sesuatu kelompok masyarakat sahaja. Semua individu mempunyai hak yag sama dalam mendapatkan kekayaan. kekayaan yang diperolehi hendaklah daripada sumber yang halal .
 

Larangan terhadap kegiatan anti-sosial

Semua kegiatan ekonomi dalam islam hendaklah mementingkan keamanan dan kesejahteraan dalam masyarakat. Segala bentuk ekonomi yang mendatangkan keburukan dan bertentangan dengan ajaran islam adalah ditegah sama sekali. Sebagai contah riba,rasuah , pasaran gelap dan lain-lain lagi yang bertentangan dengan ajaran islam. 

Hubungkait dengan agama dan tuhan
 
Ekonomi islam mempunyai hubungan yang rapat dan terus dengan agama. Segala perlakuaan adalah berlandaskan syariat dan hukum-hukum islam. sebagai contoh umat islam ditegah dari mengambil riba kerana ianya bertentangan dengan syariat islam . Barat pula tidak mementingkan nilai-nilai agama menyebabkan agama dipinggirkan secara terus daripada ursan-urusan dunia.Dalam aspek ekonomi,sebarang cara dibenarkan kerana tiada panduan dan bimbingan daripada agama . Islam menekankan konsep keredaan tuhan manakala barat sebaliknya .

Keadilan dalam urusan dan sosial

 
Islam mementingkan keadilan dalam ekonomi . Semua orang tidak kira islam ataupun tidak dilayan dengan adil dan tiada dasar diskriminasi diamalkan. Peluang yang sekata ini mewujudkan persaingan yang sihat antara peniaga dan ini akan meningkatkan lagi taraf ekonomi Negara islam dan dalam masa yang sama mengelakkan berlakunya kekecohan dan permusuhan kerana tidak puas hati terhadap pemerintah . Barat pula mementingkan keuntungan semata-mata dan ini mengabaikan nilai-nilai kemanusiaan. Hal ini menjadikan ekonomi barat tidak seimbang dan tidak sesuai untuk diamalkan.Muamalat yang diamalkan oleh islam juga membuktikan bahawa islam adalah agama yamg adil dalam urusan berkaitan sosial dan masyarakat.

Keseimbangan dalam masyarakat

Ekonomi islam merupakan platform yang penting dalam mewujudkan masyarakat yang cemerlang. Hal ini adalah kerana ahli-ahli ekonomi memainkan peranan sebagai pemimpin dan pengkritik dalam masyarakat. Pengaruh daripada ahli-ahli ekonomi ini mampu digunakan untuk menggerakkan masyarakat. Barat pula tidak menggunakan pendekatan ini dalam menstabilkan masyarakat.

Landasan yang berkesan untuk menyebarkan agama Allah

 
Ahli-ahli ekonomi islam boleh menggunakan ekonomi dalam urusan penyebaran dakwah iaitu dengan mempamerkan aklak yang baik Dengan cara ini golongan bukan islam akan tertarik untuk mendekati islam . Manakala dalam masyarakat islam sendiri ianya membolehkan syariat islam diamalkan dengan meluas. Barat mengasingkan urusan agama dengan ekonomi dan ini menyukarkan agama unuk disebarkan dan dalam masa yang sama mengundang persaingan yang tidak sihat dalam ekonomi contohnya rasuah dan penindasan .



Kekayaan menurut pandangan Barat

 

Masyarakat barat tidak memiliki undang-undang dan garis panduan yang tetap. Undang-undang yang dihasilkan juga hanya berlandaskan logik akal dan mengutamakan kepentingan sesetengah pihak. Undang-undang barat juga bebas dan tiada sebarang larangan. Sebagai contah undang-undang kapitalisme yang memeng terkenal dengan dasar penindasannya.

Sarjana barat mendefinisikan ekonomi sebagai tuntutan dunia semata-mata dan tiada kaitan langsung dengan aspek keagamaan. Ini menunjukkan agama dipisahkan secara terus daripada urusan dunia. Keadaan ini memberikan implikasi yang besar terhadap corak pemikiran dan amalan orang-orang barat berkaitan ekonomi.
Adam Smith menyatakan ekonomi sebagai suatu disiplin ilmu yang sarana-sarana kekayaan bangsa-bangsa dengan mmusatkan perhatian kepada sebab-sebab kebendaan daripada kemakmuran seperti hasil industri dan pertanian. 
Marshall pula menyatakan ekonomi sebagai ilmu tentang kehidupan manusia berhubung bagaimana mendapatkan pendapatan dan cara menggunakannya.

Daripada pandangan dua oang sarjana barat ini jelas sekali menunjukkan perbezaan antara barat dan islam
Daripada perbezaan di atas dapat disimpulkan bahawa ekonomi islam jauh lebih baik berbanding barat kerana ianya lebih teratur dan tersusun . Ekonomi islam juga mempunyai garis panduan yang lengkap . Hubungkait antara ekonomi dan agama juga jelas ditunjukkkan.